Barangkali bagi sesetengah orang soalan yang patut ditanya lebih awal ialah benarkah pelaris itu ada? Kemudian barulah kedua-dua soalan berikutnya boleh dibincangkan.
Bagi menjawab soalan golongan seperti itu elok juga dilontarkan semula satu soalan iaitu: Adakah amalan sihir itu ada? Adakah terdapat kesah tentang amalan sihir dalam Al-Quran?
Sebenarnya 'pelaris' adalah istilah orang Melayu sahaja. Ia adalah sebahagian daripada amalan sihir yang telah muncul sejak zaman dahulu kala.
Amalan sihir dikatakan amat terkenal pada zaman firaun terutama ketika zaman nabi Musa as. Malah Allah taala memberikan mukjizat khas kepada baginda yang kelihatan seperti sihir juga iaitu menukarkan tongkat baginda menjadi ular yang menelan semua ular milik ahli sihir.
Sebenarnya nabi Musa as tidak menggunakan sihir sebaliknya mukjizat tersebut disesuaikan dengan situasi ketika itu bagi menewaskan ego ahli-ahli sihir itu.
Dari kesah tersebut kita lihat ada dua pertentangan. Jika nabi Musa as dibantu oleh Allah dengan menukarkan tongkat baginda menjadi ular besar, kuasa apa pula yang membantu menukarkan tongkat ahli sihir menjadi ular?
Jawapannya telah kita maklum. Itulah kuasa (bukan Maha Kuasa) iblis laknatullah dan jin-jin kafir.
Benarkah jin itu ada? Biarlah Allah taala yang menjawabnya sebagaimana ayat Al-Quran berikut:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan kami telah ciptakan jin sebelum itu dari api yang sangat panas.” (Surah Al-Hijr : 26-27)
Seterusnya dalam Surah al-Hijr_ayat:36-37:
“Iblis berkata, ”Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang telah engkau ciptakannya dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk.” Allah berfirman,” (Baiklah) maka sesungguhnya engkau termasuk yang diberikan penangguhan.”
Ramai ulama mentafsirkan 'penangguhan' itu ialah menangguhkan kematian iblis laknatullah.
Nampaknya persoalan mampukah pelaris meningkatkan keuntungan perniagaan hampir terjawab dengan dua ayat Al-Quran tersebut.
Ayat itu juga membawa maksud iblis tidak sekali-kali akan membantu manusia bahkan ia akan lebih merosakkan sehingga ke tahap menjahanamkan manusia. Dengan kata lain, iblis akan lakukan apa sahaja bagi membawa manusia ke dalam neraka sebagaimana janjinya pada Allah taala.
Justeru apakah yang berlaku sekiranya kita menggunakan pelaris?
Ada tiga strategi yang akan dilakukan oleh iblis bagi meningkatkan perniagaan orang yang meminta bantuannya.
Pertama, memujuk orang ramai untuk datang ke kedai orang yang mengamalkan ilmu pelaris itu. Dalam hal ini tentera-tentera iblis akan bekerjasama mempengaruhi setiap individu secara personal.
Kedua, menutup pandangan orang ramai terhadap perniagaan para pesaingnya. Ini mudah sahaja dilakukan dan mudah dikesan oleh orang yang terlibat. Itu sebabnya kita hairan kenapa kedai yang tidaklah hebat sangat namun berjaya menarik ramai pelanggan manakala kedai-kedai di sekitarnya lengang dan muram.
Ketiga, menyerang para pesaing dari pelbagai sudut termasuk merosakkan kesihatan mereka. Inilah yang selalu diberitahu oleh ramai peniaga kepada penulis iaitu mereka 'terkena buatan orang'.
Benarkah ada orang sanggup menjahanamkan hidup orang lain demi keuntungan perniagaan?
Itu adalah soalan yang berat dan jika dibuat survey kepada para peniaga tiada siapa yang akan mengatakan dia sanggup menyihir orang. Biar mati tak makan daripada membunuh orang!
Penulis yakin dengan jawapan itu kerana para peniaga bukanlah orang jahat. Itulah sebabnya mereka berniaga dan bukannya menjadi penjenayah. Jika mereka benar-benar tidak fikirkan dosa pahala, lebih baik mereka mencuri atau merompak.
Masalahnya di sini ialah para peniaga tersebut (hatta pengamal sihir atau dikenali sebagai pawang atau bomoh berkenaan) tidak sedar permainan licik syaitan, iblis, dan jin kafir.
Mereka menyangka pelaris hanyalah tindakan menarik orang ramai ke kedai mereka dan mereka lupa dua lagi kaedah tersembunyi yang digunakan oleh iblis dalam melariskan jualan mereka.
Mereka lupa bahawa iblis telah berjanji pada Allah untuk menarik manusia ke neraka bersamanya. Sudah tentulah iblis tidak sekali-kali akan membantu manusia semata-mata.
Sebagai pengguna, apakah tindakan kita? Bahaya sihir bukan sahaja pada para peniaga malah ia akan merebak pada para pengguna.
Perlu diingat juga bahawa amalan sihir berlaku pada hampir semua kaum, bangsa, dan penganut agama. Bahkan peniaga bukan beragama Islam lebih kuat mengamalkan sihir kerana aqidah mereka sendiri sememangnya telah sesat.
Insya-Allah lain kali penulis akan bentangkan tanda-tanda kedai yang telah dieksploitasi oleh iblis melalui amalan sihir pelaris.
Semoga kita dilindungi Allah taala daripada kedurjanaan iblis laknatullah dan sekutunya.
*Penulis bukanlah seorang yang arif dalam ilmu agama. Justeru fokus penulis dalam artikal ini ialah menyedarkan pembaca tentang bahaya menggunakan pelaris yang merupakan sebahagian daripada amalan sihir.
Ayat-ayat Al-Quran di atas disalin daripada:
http://wahyu2u.wordpress.com/tanda-tanda-terkena-sihir/
http://shamrilah70.wordpress.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan