Sabtu, 6 Mei 2017

Punca resdung dan cara rawatannya


Sumber: ARKIB Utusan Malaysia online
Tarikh: 23/01/2005
Tajuk: RESDUNG - Risiko jangkitan otak
(Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN)

ANDA batuk, kerap bersin, tidak bermaya dan tidak sedap badan. Hidung pula rasa berair dan tersumbat. Anda terasa yang anda demam.

Apabila ubat-ubatan yang diambil tidak meredakan gejala-gejala demam biasa, bangun pagi anda mulai diiringi dengan sakit kepala dan rasa berat pada bahagian muka.

Selepas doktor mendengar sejarah gejala, memeriksa bahagian muka, dahi dan mungkin menjalankan sinaran-X pada bahagian sinus, anda disahkan menghidap penyakit sinusitis.

Di kalangan masyarakat setempat, ia lebih popular sebagai resdung dan sangat biasa terjadi di kalangan rakyat negara ini.

``Ringkasnya, resdung menghasilkan pelbagai gejala hidung dan tidak ketinggalan boleh juga memberikan kesan terhadap tekak, peti suara serta telinga tengah.

``Salah satu punca resdung adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria ke atas hidung dan rongga di sekelilingnya yang dipanggil sinus,'' kata Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, Dr. Amir Izwan Mohamed Dahan.

Menurutnya, sinus sebenarnya adalah rongga-rongga di dalam tulang muka yang bersambung ke hidung melalui saluran-saluran yang sangat kecil.

Sinus terletak pada bahagian muka - pipi di bawah mata, di antara dua mata, hanya sedikit di belakang hidung dan turut meliputi bahagian dahi seseorang.

Ia terbahagi kepada empat; masing-masingnya dikenali sebagai sinus frontal, sinus maksila, sinus etmoid dan sinus sfenoid.

Fungsi sebenar sinus tidak diketahui dengan tepat tetapi ada antara teori mengatakan sinus berfungsi meringankan tengkorak selain turut memainkan peranan dalam degungan suara.

``Biasanya lendir dihasilkan oleh rongga-rongga ini pada setiap masa dan disalirkan ke dalam hidung.

``Jika saluran daripada sinus ini tersumbat, lendir akan terkumpul dan rongga sinus menjadi tempat pembiakan yang baik bagi kuman bakteria,'' katanya.

Dr. Amir Izwan yang juga pakar bedah kepala dan leher berkata, bengkakan di dalam lapisan hidung juga boleh menyebabkan salur sinus ini tersumbat.

Salah satu punca utama bengkakan dalam hidung ini ialah radang hidung disebabkan oleh alahan (rhinitis) yang agak berleluasa dalam masyarakat kita.

Mengulas lanjut, resdung boleh juga terjadi disebabkan oleh rerambut halus silia di dalam sinus yang sepatutnya membantu pengaliran mukus, gagal menyempurnakan tugasnya.

Aktiviti menyelam ataupun berenang merupakan antara beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko resdung selain asap rokok yang dikenal pasti sebagai pencetus radang hidung.

Oleh itu, adalah sangat penting `mengharamkan' tabiat merokok di dalam persekitaran rumah mahupun kenderaan pesakit resdung, sekali gus mengelakkan tempat-tempat yang seumpamanya.

Katanya, apabila gejala resdung berlaku dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa minggu, ia diklasifikasikan sebagai akut.

Resdung akut kadangkala adalah penyebab demam, terutamanya yang berlanjutan lebih daripada tujuh hingga 10 hari.

``Asalnya, virus-virus yang menyebabkan selesema biasa, menyerang lapisan dalam hidung dan sinus menyebabkan bengkak dan menyempit.

``Badan juga bertindak balas terhadap virus dengan menghasilkan lebih banyak mukus. Ini menyebabkan hidung tersumbat dan nanah terkumpul di dalam sinus yang bengkak,'' kata Dr. Amir Izwan.

Demam yang mula kebah tetapi kemudiannya bertukar melarat menjadi sebahagian tanda-tanda resdung akut.

Di samping itu, kesakitan di dalam bahagian dahi yang timbul semasa anda mencondongkan badan ke depan seperti waktu sujud juga boleh menjadi petanda.

Ditanya bagaimanakah caranya untuk membezakan di antara resdung, demam selesema biasa dan alahan hidung memandangkan ketiga-tiganya mempunyai gejala yang saling bertindihan, Dr. Amir Izwan menjelaskan:

``Jika pesakit demam dan mempunyai gejala berkaitan hidung seperti sakit muka dan hidung, keluar nanah berwarna kuning atau hijau daripada hidung atau kahak warna sama pada sebelah pagi, itu resdung.

``Apabila gejala-gejalanya berlaku lebih kerap ataupun jangkitan berpanjangan lebih daripada tiga bulan, resdung akut boleh menjadi kronik.

``Gejalanya mungkin tidak seteruk resdung akut namun, jika tidak dirawat boleh menyebabkan kerosakan kepada sinus dan tulang pipi sehingga memerlukan pembedahan,'' katanya.

Walaupun resdung tidak boleh menjadi kanser sehingga menyebabkan hidung rompong tetapi sebaliknya kanser boleh memperlihatkan gejala-gejala seperti penyakit itu.

Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, resdung boleh mengakibatkan maut tidak langsung yang disebabkan oleh komplikasi pada otak pesakit.

Serangan resdung berulang-ulang juga boleh berlaku. Pesakit selalunya diberikan rawatan antibiotik untuk menyembuhkannya tetapi penyakit datang semula sebulan dua kemudian.

Puncanya mungkin disebabkan oleh faktor penyebab penyakit ini yang tidak dirawat sepenuhnya, lazimnya susunan tulang dalaman sinus yang tidak normal dan sempit. Dalam kes-kes begini, pembedahan endoskopi dilakukan.

Sekiranya gejala resdung masih berterusan, kaedah baru ini akan dilakukan di mana rongga-rongga sinus terlibat akan dibuka menggunakan alat-alat khas di bawah penglihatan kamera skop.

Pembedahan sinus endoskopi ini sama sekali tidak memerlukan belahan pada kulit kerana segala prosedurnya dilakukan di dalam rongga hidung.

Ini berbeza dari kaedah lama pembedahan di mana belahan terpaksa dibuat di sekeliling kawasan hidung.

Pun begitu, gejala alahan hidung masih boleh terjadi selepas pembedahan dan hanya dapat dikawal melalui penggunaan ubat-ubatan.

``Justeru, adalah sangat penting bagi para pesakit untuk mengekalkan pengambilan ubat-ubatan antialahan selepas pembedahan,'' kata Dr. Amir Izwan.

Tambahnya, cara terbaik untuk mencegah serangan resdung ialah dengan merawat gejala-gejala hidung dengan segera sebelum ia melarat.

Gejala resdung:

* Hidung tersumbat

* Lendir daripada hidung dan tekak

* Muka berasa sakit dan berat terutamanya pada bahagian antara mata

* Sakit tekak berpanjangan dan berulang-ulang

* Demam atau rasa tidak sedap badan yang berpanjangan akibat gejala di atas

* Gejala alahan hidung seperti bersin, gatal hidung dan sebagainya.

Punca resdung:

* Susunan tulang dalaman hidung yang sempit

* Hidung bengkok

* Mandi dan terjun di dalam air yang kotor.

Bacaan tambahan:
1. Khasiat myrrh dalam rawatan resdung



Tiada ulasan:

VVIP

Kegunaan Morhabshi dalam kebudayaan Melayu

Meskipun ramai yang merasakan baru pertama kali mendengar nama Morhabshi, namun ia sebenarnya bukanlah asing dalam kebudayaan Melayu. Orang Melayu menggelarnya 'kemenyan bunian' kerana keampuhannya menghindari gangguan makhluk halus. Bahagian yang paling penting ialah getahnya yang digunakan untuk menghalau atau menghindari makhluk ghaib tersebut. Di Malaysia khasiat Morhabshi dipercayai lebih awal diamalkan dalam masyarakat lain seperti Arab, Cina dan India.

Morhabshi dalam Perubatan Tradisional

Dipercayai resin myrrh atau morhabshi memasuki Tanah Melayu dan dalam kehidupan orang Melayu melalui pergaulan dan persemendaan dengan masyarakat Arab yang ketika itu menguasai istana dan golongan bangsawan.

Berdasarkan pengamatan dan ilmu yang dimiliki nenek moyang kita, myrrh atau morhabshi dicampurkan bersama minyak-minyak tertentu seperti minyak kelapa, zaiton, lenga (bijan), serai serta herba-herba seperti keduduk putih, bayam batu, lemuni, raja kayu, hempedu bumi, cekur dan sebagainya dapat berinteraksi dengan pelbagai penyakit kulit seperti kayap, barah, kudis, gatal-gatal serta sakit gigi, cirit-birit dan sebagainya.

Campuran ini juga didapati bertindakbalas pada pendarahan luar (luka dan sebagainya).

Bagi yang kurang yakin dengan kehebatan nenek moyang orang Melayu, sila semak kembali perjalanan sejarah negara, terutama Empayar Melaka yang pernah menjadi pusat perdagangan, pusat penyebaran Islam, dan pusat perkembangan ilmu pengetahuan terhebat di zamannya.

Justeru adalah mustahil bangsa yang begitu hebat ketika itu tidak mempunyai teknologi perubatan mereka sendiri.



Pengkalan Blog Morhabshi

Dedikasi & Penafian

Blog ini dibina bagi memaparkan ramuan dan petua yang terdapat dalam kitab Attabib walhikmah karangan almarhum Dr(H) Ustaz Hj Abdul Hamid Ahmad, pengasas Minyak Morhabshi. Ini adalah sumbangan kami terutama kepada para pelanggan kami dan juga kepada anda semua. Semoga Allah menempatkan arwah ustaz Hj Abdul Hamid dan isteri beliau Hjh Saodah dalam syurga-Nya bersama orang beriman dan beramal soleh. A-Fatihah. Sesungguhnya kita semua akan menuruti jejak mereka juga suatu hari nanti.

Penafian
Semua maklumat dalam blog ini merupakan perkongsian daripada pelbagai sumber. Admin tidak bertanggung jawab jika berlaku sebarang kerosakan, kecederaan, kerugian, dan sebagainya dan jika berlaku ia tidak boleh dianggap berpunca dari blog ini.