Rabu, 10 September 2014

Dia sakit gigi sebenarnya


1974, Paya Kemunting Jitra Kedah...

"Nak pi mengkala?" tanya Tokwan.

"Ikut suka ustaz la." balas tuan rumah. "tapi depa pun dah menanak. Elok kita makan dulu." pelawanya.

"Wah, satu cadangan yang baik," sahut hati saya dengan girang. Sebenarnya sejak naik ke anjung tadi bau gulai sudah menerjah lubang hidung.

Kami makan tengahari di situ berlauk ikan keli yang digulai bersama ubi keledek. Tiada sayur, tetapi berulam jantung pisang rebus dan terung bakar. Sudah tentu dicicah sambal belacan.

Tempat yang dituju bukanlah jauh sangat. Tuan rumah yang menaiki basikal tiba lebih awal daripada kami. "Ikut jalan pintas," katanya.

Setibanya di laman rumah tersebut beberapa orang sedang berbual di bawah bangsal. Tokwan menongkatkan vespanya di bawah sebatang pokok. Redup.

Semua yang berada di situ nampaknya mengenali Tokwan. Mereka datang bersalaman dan bertanya khabar. Setelah berbual sebentar Tokwan meminta untuk naik ke atas rumah.

Beliau memberi salam dan sebentar kemudian seorang pemuda menjenguk daripada dalam rumah.

"Ha, ustaz. Ada apa? Depa suruh mai ka?" soal pemuda itu.

"Saja singgah. Depa kata hang demam. Tak ajak ustaz naik ka?" Tokwan menyapa ramah. Tanpa menunggu jawapan beliau sudah menginjak anak tangga dan menghilang di balik pintu.

Kira-kira 10 minit kemudian dia menjengah dari jendela.

"Nor, ambik minyak Morhabshi kat vespa Tokwan." arahnya kepada saya.

Saya segera menuju ke vespanya dan membuka kotak di sebelah kiri. Saya mengambil sebotol minyak Morhabshi dan segera berjalan pantas ke arahnya.

"Lambung," katanya.

Botol kecil itu saya lambung dan disambut dengan mudah. Tokwan kembali hilang di dalam rumah.

Namun tidak lama kemudian dia turun, berbual seketika dengan lelaki-lelaki di laman rumah, dan kemudian mengajak saya pulang.

Sesampai di rumah, sudah tentulah Tok sudah bersedia dengan soalan bertalu-talu kenapa kami lewat pulang walaupun sesi persekolahan sudah lama tamat. Walaupun Tok memang tahu yang Tokwan selalu singgah di tempat lain dengan pelbagai urusan namun Tok tetap bertanya juga.

“Budak Lan Gelong panggil tadi. Anak menakan dia mengamuk.” Tokwan menjelaskan sambil
ketawa kecil.

“Anak menakan dia yang gila tu?” tanya tok.

“Hisy, sapa kata dia gila? Tokwan meningkah. Dia cuma ‘panas’ sikit. Biasa la budak muda. Elok dah budak tu.” Tokoknya lagi.

“Kalau elok buat apa dia mengamuk?” Tok masih tidak puas hati.

“Dia sakit gigi sebenarnya. Adik-adik dia dok bising. Dia suruh diam, depa buat tak tau. Dia pun tendang dinding, lekang. Semua pakat lari lintang pukang. Depa ingat pasai ‘hantu dia mai’. Aku suruh dia sapu minyak tu kat gigi, 5-6 minit lepas tu lega la.” Tokwan ketawa geli hati.

Saya turut tersenyum mendengar cerita Tokwan.


2006, USM Pulau Pinang.

Esok sepatutnya ada pembentangan. Namun gigi saya yang berdenyut-denyut sejak tadi bukan sahaja sudah kebah, malah semakin sakit. “Macamana ni? Nak ambil ‘MC’ je ke?” getus hati saya.

Masalah gigi ini sudah berlarutan lebih setahun. 10 bulan yang lepas saya habiskan hampir RM200 untuk menjalani rawatan ‘akar gigi’ iaitu satu proses ‘mematikan’ urat gigi yang sakit itu supaya dia tidak lagi berfungsi. Teorinya mudah: benda mati tak kan rasa sakit lagi.

“Kalau awak cabut, gigi baru tak kan tumbuh lagi,” nasihat doktor swasta yang kukunjungi.

Namun walaupun sudah dirawat, 2-3 bulan sekali saya terpaksa mengunjungi klinik tersebut untuk merawatnya semula. Oleh kerana rawatan pertama dulu masih ada ‘guarantee’ maka setiap rawatan susulan tidak dikenakan bayaran. Namun sampai bila saya harus begini?

Saya pernah memeriksa semula di klinik kerajaan di Melaka. Doktor tersebut memberitahuku bahawa rawatan akar yang saya jalani di Pulau Pinang itu sebenarnya tidak begitu berjaya. Terdapat satu lagi akar yang gagal dimatikan. Itulah sebabnya sakit itu sentiasa berulang.

Tiba-tiba saya teringat minyak Morhabshi yang memang sentiasa ada dalam simpanan. Selalunya saya gunakan untuk cirit birit dan lenguh-lenguh. Beberapa orang pengguna mengakui minyak Ustaz Hamid itu amat mujarab untuk sakit gigi, namun belum pernah saya cuba untuk sakit gigi.

Saya mengambil secebis tisu dan celup ke dalam muncung botol minyak Morhabshi. Kemudian saya lekapkan ke dalam lubang gigi geraham yang sakit itu. Saya biarkan sebentar.

Alhamdulillah, lebih kurang 10 minit kemudian kawasan sakit itu terasa sedikit kebas (tidak begitu ketara kebasnya). Dan, rasa sakit terus hilang.

Alhamdulillah sekali lagi. Sehingga kini (2008) gigi tersebut terus ‘sihat’ dan tidak perlu dicabut.

Dalam hati saya berkata: “Kalau lah aku gunakan minyak ni dulu, selamat RM200.”

Nota: semasa saya edit artikal ini 11 September 2014, sakit gigi tersebut tetap tidak berulang.
Alhamdulillah.


semakan 12 sept 2014 (admin)

Tiada ulasan:

VVIP

Kegunaan Morhabshi dalam kebudayaan Melayu

Meskipun ramai yang merasakan baru pertama kali mendengar nama Morhabshi, namun ia sebenarnya bukanlah asing dalam kebudayaan Melayu. Orang Melayu menggelarnya 'kemenyan bunian' kerana keampuhannya menghindari gangguan makhluk halus. Bahagian yang paling penting ialah getahnya yang digunakan untuk menghalau atau menghindari makhluk ghaib tersebut. Di Malaysia khasiat Morhabshi dipercayai lebih awal diamalkan dalam masyarakat lain seperti Arab, Cina dan India.

Morhabshi dalam Perubatan Tradisional

Dipercayai resin myrrh atau morhabshi memasuki Tanah Melayu dan dalam kehidupan orang Melayu melalui pergaulan dan persemendaan dengan masyarakat Arab yang ketika itu menguasai istana dan golongan bangsawan.

Berdasarkan pengamatan dan ilmu yang dimiliki nenek moyang kita, myrrh atau morhabshi dicampurkan bersama minyak-minyak tertentu seperti minyak kelapa, zaiton, lenga (bijan), serai serta herba-herba seperti keduduk putih, bayam batu, lemuni, raja kayu, hempedu bumi, cekur dan sebagainya dapat berinteraksi dengan pelbagai penyakit kulit seperti kayap, barah, kudis, gatal-gatal serta sakit gigi, cirit-birit dan sebagainya.

Campuran ini juga didapati bertindakbalas pada pendarahan luar (luka dan sebagainya).

Bagi yang kurang yakin dengan kehebatan nenek moyang orang Melayu, sila semak kembali perjalanan sejarah negara, terutama Empayar Melaka yang pernah menjadi pusat perdagangan, pusat penyebaran Islam, dan pusat perkembangan ilmu pengetahuan terhebat di zamannya.

Justeru adalah mustahil bangsa yang begitu hebat ketika itu tidak mempunyai teknologi perubatan mereka sendiri.



Pengkalan Blog Morhabshi

Dedikasi & Penafian

Blog ini dibina bagi memaparkan ramuan dan petua yang terdapat dalam kitab Attabib walhikmah karangan almarhum Dr(H) Ustaz Hj Abdul Hamid Ahmad, pengasas Minyak Morhabshi. Ini adalah sumbangan kami terutama kepada para pelanggan kami dan juga kepada anda semua. Semoga Allah menempatkan arwah ustaz Hj Abdul Hamid dan isteri beliau Hjh Saodah dalam syurga-Nya bersama orang beriman dan beramal soleh. A-Fatihah. Sesungguhnya kita semua akan menuruti jejak mereka juga suatu hari nanti.

Penafian
Semua maklumat dalam blog ini merupakan perkongsian daripada pelbagai sumber. Admin tidak bertanggung jawab jika berlaku sebarang kerosakan, kecederaan, kerugian, dan sebagainya dan jika berlaku ia tidak boleh dianggap berpunca dari blog ini.