Ahad, 16 Mei 2010

insya-Allah, hanya Allah

"Macamana kalau Tokwan tak ada?" saya mengajukan soalan.

Memang saya risau. Walaupun tidak semua perkara diadu pada Tokwan namun jika terdapat kekusutan yang tak mampu lagi diurai maka Tokwanlah yang akan dirujuk: masalah penyakit, masalah rumahtangga, masalah jiran tetangga, masalah politik, masalah agama dan sebagainya. Maksud saya, dalam kalangan keluarga kami.

Tika itu Tokwan sudah agak tua. Umurnya sudah melebihi 80 tahun. Beliau lebih tua daripada Tun Dr Mahathir. Dulu, sering juga Tun datang ke rumah menjemput Tokwan terutama menjelang pilihanraya.

Tokwan, asalnya hanya seorang ustaz sekolah rendah. Walaupun pernah ditawarkan ke Mesir, namun beliau tidak mampu ke sana kerana kemiskinan keluarga.

Setelah bersara, Tokwan segera 'dilamar' oleh Mudir/Pengasas Maahad Islamiah Derang Kedah sebagai tenaga pengajar dan pengurus pusat rawatan di situ. Beliau membimbing pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara (Timur Tengah) kerana kemahiran beliau berbahasa Arab.

Satu lagi keistimewaan Tokwan ialah penglibatan dalam bidang sukan, terutama bola sepak. Pada usia 80an itupun beliau masih membantu dua pasukan bola sepak selaku pengurus. Sebenarnya ramai pemain Kedah yang pernah menjadi anak didiknya sehingga ada yang menggelarnya 'Ustaz bola'.

Sambil itu Tokwan mengusahakan perubatan tradisional, termasuklah minyak herba morhabshi. Beliau sering dijemput merawat pesakit-pesakit di sekitar Jitra. Kelebihan beliau termasuklah mampu mengubati pesakit mental.

Tokwan juga mempunyai diploma dalam perubatan homeopathy. Seorang sahabatnya yang berjaya dalam bidang tersebut ialah Dr (H) Azizan, pengasas Era Edar SDN BHD. Seingat Demang, Tokwan turut membantu Dr Azizan merawat pesakit di klinik mereka di Jitra. Beberapa hari dalam seminggu beliau bertugas di situ, sebelum berpindah ke Maahad Derang.

Selain bahasa Melayu, Tokwan fasih berbahasa Arab, Siam, dan memahami bahasa Inggeris dengan baik. Buku dan kitabnya penuh dalam beberapa buah almari dan rak khas di rumahnya. Setiap kali ke rumahnya, saya akan 'meminjam' beberapa buah untuk dibawa pulang namun tidak pernah dipulangkan.

Dalam kesibukan, beliau masih sempat menyiapkan dua buah buku perubatan; sebuah berkenaan perubatan tradisional Melayu dan sebuah lagi berkenaan perubatan homeopathy.

Sebahagian isi kandungan kitab perubatan bertajuk 'Attabib Walhikmah' tulisan beliau itu boleh dimuat turun di www.morhabshi.com.

Saya pernah mendengar seorang rakan beliau bertanya: "Kalau Ustaz tak ada, siapa nak warisi semua ni?"

Tokwan tersenyum sambil menunjukkan pada saya: "Ni, cucu ada." kata beliau.

Itu sebabnya saya dimasukkan ke 'sekolah Arab'. Namun harapan untuk melihat saya menjadi ustaz tidak kesampaian kerana saya lebih cenderung pada muzik; sama seperti anak bongsu Tokwan yang akhirnya menjadi penyanyi rock (Radzi yang terkenal dengan lagu Cinta Untuk Nabila).

Radzi kini dikenali sebagai Ustaz Radzi dan terkenal sebagai penceramah bebas. Ketika Mazlan Pet Pet (Senario) berkahwin, pada malamnya diadakan ceramah agama dan Ustaz Radzi menjadi penceramahnya.

Kini, Ustaz Radzi masih menyanyi sambil berdakwah. Album terbaru beliau berjudul 'Radzi Penyesalan' diedarkan pada tahun lalu berbentuk nasyid kontemporari. Sementara itu beliau aktif dalam usaha dakwah bersama jemaah tabligh dan sesekali dijemput dalam program TV, termasuk oleh Ustaz Akil.

Berbalik pada persoalan saya di awal tadi. Menjawab soalan tersebut, Tokwan tersenyum namun dengan tegas berkata:

"Jika aku tiada, Allah SWT tetap ada. Dia akan beri (gantikan) orang lain pula."

Kini Tokwan atau Ustaz Hj Abdul Hamid sudah kembali ke rahmatullah. Walaupun beliau sudah tiada, sumbangannya terhadap bidang perubatan dapat diteruskan.

Alhamdulillah. Minyak Morhabshi semakin terkenal dan diterima ramai. Malah saya dapati lebih terkenal berbanding semasa beliau masih hidup.

Saya percaya, walaupun beliau tidak dapat menggunakan keuntungan jualan Minyak Morhabshi kerana sudah berada di alam lain, namun pahala kerana menyediakan formula untuk Minyak Morhabshi yang kita gunakan akan berterusan dinikmati beliau.

Saya dan keluarga hanya menyambung tugas beliau.

Alfatihah untuk beliau dan isteri beliau, Tok Saudah yang lebih awal meninggalkan kami dan kita semua.

Tiada ulasan:

VVIP

Kegunaan Morhabshi dalam kebudayaan Melayu

Meskipun ramai yang merasakan baru pertama kali mendengar nama Morhabshi, namun ia sebenarnya bukanlah asing dalam kebudayaan Melayu. Orang Melayu menggelarnya 'kemenyan bunian' kerana keampuhannya menghindari gangguan makhluk halus. Bahagian yang paling penting ialah getahnya yang digunakan untuk menghalau atau menghindari makhluk ghaib tersebut. Di Malaysia khasiat Morhabshi dipercayai lebih awal diamalkan dalam masyarakat lain seperti Arab, Cina dan India.

Morhabshi dalam Perubatan Tradisional

Dipercayai resin myrrh atau morhabshi memasuki Tanah Melayu dan dalam kehidupan orang Melayu melalui pergaulan dan persemendaan dengan masyarakat Arab yang ketika itu menguasai istana dan golongan bangsawan.

Berdasarkan pengamatan dan ilmu yang dimiliki nenek moyang kita, myrrh atau morhabshi dicampurkan bersama minyak-minyak tertentu seperti minyak kelapa, zaiton, lenga (bijan), serai serta herba-herba seperti keduduk putih, bayam batu, lemuni, raja kayu, hempedu bumi, cekur dan sebagainya dapat berinteraksi dengan pelbagai penyakit kulit seperti kayap, barah, kudis, gatal-gatal serta sakit gigi, cirit-birit dan sebagainya.

Campuran ini juga didapati bertindakbalas pada pendarahan luar (luka dan sebagainya).

Bagi yang kurang yakin dengan kehebatan nenek moyang orang Melayu, sila semak kembali perjalanan sejarah negara, terutama Empayar Melaka yang pernah menjadi pusat perdagangan, pusat penyebaran Islam, dan pusat perkembangan ilmu pengetahuan terhebat di zamannya.

Justeru adalah mustahil bangsa yang begitu hebat ketika itu tidak mempunyai teknologi perubatan mereka sendiri.



Pengkalan Blog Morhabshi

Dedikasi & Penafian

Blog ini dibina bagi memaparkan ramuan dan petua yang terdapat dalam kitab Attabib walhikmah karangan almarhum Dr(H) Ustaz Hj Abdul Hamid Ahmad, pengasas Minyak Morhabshi. Ini adalah sumbangan kami terutama kepada para pelanggan kami dan juga kepada anda semua. Semoga Allah menempatkan arwah ustaz Hj Abdul Hamid dan isteri beliau Hjh Saodah dalam syurga-Nya bersama orang beriman dan beramal soleh. A-Fatihah. Sesungguhnya kita semua akan menuruti jejak mereka juga suatu hari nanti.

Penafian
Semua maklumat dalam blog ini merupakan perkongsian daripada pelbagai sumber. Admin tidak bertanggung jawab jika berlaku sebarang kerosakan, kecederaan, kerugian, dan sebagainya dan jika berlaku ia tidak boleh dianggap berpunca dari blog ini.