Tok Kuning mencari Pak Andak
>> Thursday, October 30, 2008
“Pak Andak belum tidur lagi... Mak Andak nkau ke rumah jiran, kenduri. Tiba-tiba dua laki bini pakai serba kuning berdiri depan pintu bilik. Dia kata: “bagi balik istana kami.” Wah! Menggeletar Pak Andak. Kedua-duanya nampak bengis dengan mata merah.”
Encik Ramli Saat saya gelar Pak Andak kerana beliau berkahwin dengan ibu saudara saya. Beliau bekerja dengan majlis bandaran Seremban. Suatu petang dia membawa ‘anak buahnya’ menebang sebatang pokok besar. Pada malam itu, dia didatangi ‘tetamu tak diundang’ yang mendakwa beliau telah memusnahkan kediaman mereka.
Selama dua hari berturut-turut kedua lembaga tersebut menziarahi Pak Andak ketika beliau seorang diri di rumah. Ibu saya yang diberitahu melalui telefon mencadangkan agar Mak Andak menyapu minyak Morhabshi ke beberapa bahagian tubuh Pak Andak.
Keesokan paginya, ketika Pak Andak berada seorang diri di rumah, pasangan berpakaian kuning menjelma lagi. Namun kali ini mereka seolah tersekat di pintu depan. Mereka kelihatan resah dan tidak masuk ke dalam rumah sebagaimana sebelum ini.
Tidak lama kemudian pasangan tersebut menghilang. Dua hari selepas itu mereka muncul lagi tetapi cuma sebentar. Sampai sekarang makhluk tersebut tidak pernah mengganggu Pak Andak lagi.
“Sebenarnya, sepanjang masa Pak Andak sapu minyak tu kat badan. Lepas mandi je, sapu semula. Masa tidur, Pak Andak letak botol minyak Morhabshi tu bawah bantal.” Pak Andak mengakhiri ceritanya.
Peristiwa itu berlaku beberapa tahun lepas. Jika ingin kepastian, saya boleh berikan nombor telefonnya atau anda boleh juga menziarahinya di Taman Desaru Paroi. Kebetualan beliau nak berangkat ke Mekah minggu depan.
Wallahu’alam.
0 comments:
Post a Comment